UMNO dan konco-konconya (MCA, Gerakan, MIC...) sudah sangat gelisah kerana mereka gagal membuat sebarang perubahan dan gagal mendapat semula sokongan rakyat. Oleh itu, mereka cuba memainkan isu penggunaan kalimah "Allah".
Friday, January 08, 2010
UMNOlah yang sengaja mainkan isu penggunaan kalimah "Allah"
UMNO dan konco-konconya (MCA, Gerakan, MIC...) sudah sangat gelisah kerana mereka gagal membuat sebarang perubahan dan gagal mendapat semula sokongan rakyat. Oleh itu, mereka cuba memainkan isu penggunaan kalimah "Allah".
[Reprint] Allah Untuk Semua!
http://merdekareview.com/bm/news.php?n=10538
Saya amat insaf isu penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut Katolik Kristian di negara ini bakal menimbulkan pelbagai reaksi buruk seandainya penganut Islam dan penganut agama lain khususnya Kristian gagal mengawal emosi dan tidak faham isunya yang sebenar.
Perasan tersebut menghantui penulis, selaku ahli Lujnah Politik PAS Pusat ketika melangkah masuk ke dewan mesyuarat, Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut pada malam Isnin, 4 Januari 2010. Silap haribulan, dalam PAS pun boleh berlaku kebrentakan.
Bermain di minda penulis adalah kesan impak dan senario, akan akibat keputusan yang bakal diambil. Berlatarbelakangkan demografi negara atau kependudukan dan pengundi yang bersifat 60-40 atau "Mixed", kesan "senjata dua mata" atau "double-edged sword" ini tidak dapat dielakkan. Sementara ada yang suka dan menyokong, tentunya ada yang akan kecewa dan marah. Itu cabaran politik plural yang mesti didepani.
Namun, penulis berazam dan mahukan keputusan yang bakal dicapai adalah satu yang dirumuskan dengan segala pertanggungjawabannya. Ya betul perhitungan politik yang bijak dan waras itu penting, tetapi dasar yang berpaksikan hujjah dan sandaran Al-Quran mesti jelas dan teguh dahulu.
Penulis benar-benar menarik nafas lega dengan keputusan. Keputusan lujnah telah pun diumumkan dan tentunya penulis tak boleh menceritakan apa yang yang berlaku di sebalik dewan tertutup itu untuk hampir tiga jam. Berikut adalah penulisan secara ilmiah sebagai perkongsian untuk tatapan umum.
Kerana kekangan ruang, isu ini wajar dilihat penulis dari 2 aspek penting.
i. Perspektif Al-Quran atau Hukum dan
ii. Perspektif Pentadbiran atau Perundangan dan kalau sisi pandang PAS apa yang dikatakan sebagai perkiraan Siasah Syariah atau Siasah dari kacamata Syariah atau tegasnya kesan baikburuk mengikut pandangan Syariah.
Isu ini timbul kerana pengharaman yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penerbitan mingguan Herald Katolik yang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya dalam Bahasa Malaysia. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa KDN salah dalam pengharaman itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Saya cuba huraikan kemudian secara ringkas.
Untuk pengetahuan umum, penganut agama Kristian Katolik di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah "Allah" sejak 150 tahun lalu. Kalimah Allah juga digunakan oleh penganut-penganut Sikh Gudwara. Dalam konteks negara timur tengah dan negara umat Islam lain, penggunaan nama "Allah" oleh penganut lain, tidak menimbulkan masalah sejak berzaman.
Persoalan penting yang ummat Islam di negara ini perlu faham ialah, Apakah Al-Quran mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh penganut selain Ummat Islam? Dan apa pula pendirian ulama-ulama besar terkini atau kontemporari terhadap isu ini, khususnya dalam konteks Islam dalam dunia kini?
Jawapan ini penting dan dapat mengelakkan isu ini dipolitikkan bahkan diekspolitasi sehingga mengeruhkan suasana perhubungan baik antara-agama dan antara-budaya.
Para Ulama kerap merujuk kepada beberapa ayat di dalam Al-Quran yang menyebutkan bahawa Allah SWT sendiri mengiktiraf, bahawa orang-orang muskrik (yang menyembah berhala) pun mengakui bahawa Allah adalah Rabb atau Tuhan yang Mencipta atau Al-Khaliq. Bermakna mereka menerima Tuhan Yang Menjadikan Semesta Alam ini (Tauhid Rububiyah). Islam secara lengkapnya dalam bab Keimanan atau Aqidah Tauhid menerima Allah selaku Pencipta (Ar-Rububiyah) dan Pentadbir/Pemberi Hukum (Al-Uluhiyah).
Contohnya ayat dalam Surah Luqman ayat 25 : "Dan jika (Muhammad) tanyakan mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi?", Tentu mereka akan jawab "Allah". Katakanlah "Segala Puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui".
Tegasnya mereka mengiktiraf Allah tetapi hanya dari sifat "Rububiyah"(Pencipta) dan tidak selengkapnya termasuk Allah selaku Yang Mentadbir dan Memberi Hukum (Tauhid Rububiyah).
Saya merujuk kepada pandangan dua tokoh besar ulama terkini, Sheikh Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili Tokoh Maal Hijrah 1429H. Kedua-dua berpandangan bahawa penggunaan nama "Allah" adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Nabi Allah Ibrahim yakni Islam, Kristian dan Judaism.
Kedua-dua berpandangan bahawa ia adalah baik untuk menjalinkan kesatuan dan perpaduan di peringkat "persaudaraan agama samawiyat", paling tidaknya. Mereka tidak mengambil sikap sempit macam sesetengah orang Islam di negara ini, bahawa Allah hanya untuk orang Islam secara eksklusif dan penganut lain tak boleh guna nama Allah atau macam suruh cari Tuhan lain pulak. Berapa banyak Tuhan yang ada? Bukankah Islam menganjurkan semua ummat manusia mengiktiraf Tuhan itu Esa atau Satu.
Perhatikan ayat di seterusnya ini. Allah sebutkan dalam Al-Quran: "....kami beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu, satu dan hanya kepadanya kami berserah diri".....Surah Al-Angkabut:46.
Bukankah lebih baik, mengikut logik akal waras, di samping hujah dari al-Quran dan kata Ulama tadi, supaya kita galakkan mereka juga menerima "Allah", walaupun Tauhid dan Aqidah mereka tak sempurna macam kita. Memanglah, itulah sebabnya mereka Kristian atau Yahudi atau selainnya.
Kalau mereka percaya macam aqidah kita tentang Allah, jadilah mereka orang Islam, bukanlah lagi Kristian dan Yahudi. Namun bolehkah kita paksa Aqidah kita itu kepada mereka? Tentunya tidak. Tidak ada paksaan dalam Islam.
Setelah mengizinkan agama lain menggunakan nama "Allah", maka yang lebih penting adalah supaya tidak menyalahgunakan nama "Allah" itu. Ini perlu diberikan peraturan dan keterangan seperti yang ditegaskan oleh keputusan PAS, supaya jangan ada yang menyalahgunakan perkatan Allah.
Hal ini juga dibangkitkan oleh bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri (gambar kiri). Ini aspek pengurusannya atau Siyasah Syariahnya, supaya dijaga maslahahnya dan dijauhkan mafsadah atau kemudharatanya. Jelasnya begitu.
Sebenarnya, perkara itulah yang dimaksudkan dengan Perkara 11(4) dan 11(5) dalam Perlembagaan Persekutuan supaya di pihak berwajib menjaga pentadbiran kebebasan bergama supaya tidak timbul huru-hara dan ketidakstabilan dan dikekalkan keharmonian. Pada waktu yang sama agama lain tidak boleh berdakwah kepada orang Islam seperti Perkara 11 (4). Ini wajib dijaga dan perlu juga peraturan. Adakan peraturan. Jangan haramkan penggunaan nama Allah, tak selesai masalah.
Sebab itu juga keputusan PAS menekankan supaya jangan ada pihak yang terlalu agresif dan melakukan provakasi sehingga mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keharmonian antara agama dan konflik antara kaum-budaya.
Itu saja. Mengapa sampai nak berperang? Mengapa sampai nak berdemonstrasi? Kata 1-Malaysia? Mengapa perlu menimbulkan kesangsian dan syak wasangka sehingga menjejaskan keharmonian antara agama? Siapa yang mempolitikkan isu ini?
Dari sekadar memperjuangkan isu penggunaan eksklusif nama "Allah" itu, adalah lebih penting untuk ummat Islam memperjuangkan Apa yang Allah perintahkan ke atas kita, yakni menganjurkan kebaikan dan melarang kemungkaran termasuk membenteras rasuah, salah guna kuasa, pembaziran, membasmi kemiskinan, keruntuhan moral dan akhlak serta kezaliman yang diinstitusikan.
Dengan mempertegaskan sikap dan pendirian yang jauh berbeza dengan Umno, PAS telah benar-benar membawa kesedaran rakyat dalam "Politik Baru' bahawa Agama mampu menyatukan dan tidak memecahkan ummat manusia. Andainya PAS konsisten dan terus iltizam dengan kerangkan pemikiran (fikrah) ini, maka tajribah atau pengalaman ini jelasnya adalah satu penampilan baru dalam "Political Islam" yang sekaligus akan meletakkan PAS dan Gerakan Islam dipersada politik global, bagi menyumbang kepada kebangunan semula tamaddun manusia yang berteraskan nilai moral serta integriti yang tinggi dan bersendikan tuntutan agama dan wahyu.
*Dr.Dzulkefly Ahmad ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Selangor.