Thursday, September 06, 2007

Ada apa yang lebih penting daripada kehidupan? Karajaan terus menganiayi rakyat.

Kerajaan Malaysia bukan sahaja kejam tetapi juga pandai dalam mengatur strategi untuk menjalankan semua penindasan terhadap rakyat.

Walaupun semua penindasan kepada rakyat adalah penindasan hak-hak asasi manusia tetapi kerajaan sentiasa cuba mengatakan golongan ditindas tersebut cuba membangkitkan isu perkauman. Kerajaan kita ini memang kejam, zalim dan handal dalam mengatur muslihat serta memesongkan isu sebenar.

Dalam tahun ini, banyak penindasan telah dilakukan oleh kerajaan. Termasuknya sejarah hitam yang terukir pada 20 November 2006 apabila benteng manusia di Berembang telah dirempuh dengan ganas oleh pihak FRU dan penguatkuasa MPAJ. Mereka dipukul, ditendang dan dihambat dengan kayu. Pergelutan berlaku kerana para penduduk dan sukarelawan enggan membiarkan surau berkenaan dirobohkan.

Setelah berjaya, meleraikan benteng manusia yang didirikan oleh penduduk, beberapa orang penguatkuasa MPAJ dilihat meluru ke dalam surau dengan memakai kasut but dan menendang barang-barang yang ada disamping memecahkan semua tingkap surau. Pada masa yang sama mereka menemui sekumpulan kanak-kanak dan orang dewasa yang turut berkubu didalam surau.

Selepas itu, pada bulan September, kerajaan menjalankan operasi bersepadu bagi mengurangkan ternakan khinzir daripada lebih 100,000 ekor kepada 48,000 ekor di kawasan Bukit Beruang, Paya Mengkuang dan Man Lok. Penduduk-penduduk Melaka tersebut akan hilang rezeki hidup dan harta apabila pembunuhan khinzir dan perobohan kandang dijalankan. Walaupun penternakan khinzir adalah haram di sisi Islam tetapi penternakan ini adalah hanya-hanya sumber hidup mereka. Penternak-penternak hanya manusia yang biasa. Kehidupan mereka harus dijaga. Walaupun mereka bukan Islam, mereka tetap mempunyai hak asasi sebagai seorang manusia. Kerajaan patut memberi bantuan kepada mereka untuk mengurangkan pencemaran dan bukannya menghapuskan mereka.

Tidak susahlah untuk memperhatikan bahawa, kerajaan akan terus menindas rakyat tanpa mempedulikan kaum, agama, umur dan jantina.

Kita perlu memberi kehormatan dan sokongan kepada penduduk-penduduk tersebut yang berani bertindak menghalang pihak berkuasa daripada menjalankan operasi menutup ladang babi mereka.

Hidup rakyat! Hidup perjuangan! Bersatu menentang kezaliman tanpa mengira kaum dan agama!

No comments: