Sunday, January 22, 2006

Berani kerana benar! Mari kita memperjuangkan demokrasi!

Berani kerana benar! Mari kita memperjuangkan demokrasi!

Pada tahun 1969-1974, pekerja-pekerja ladang dan penduduk peneroka bandar ditindas oleh kerajaan. Apabila pelajar-pelajar universiti mendapati perkara tersebut, mereka bangun dan berdiri bersama rakyat Malaysia. Mereka melaungkan suara mereka kepada kerajaan untuk menghentikan penindasan terhadap rakyat.

Oleh kerana penentangan yang cukup kuat dilancarkan oleh pelajar-pelajar universiti, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digubal pada tahun 1971 dan dipinda menjadi lebih ketat pada tahun 1975 oleh kerajaan. Pelajar tidak dibenarkan menyuarakan pendapat, menubuhkan persatuan dan berhimpun tanpa kebenaran Naib Canselor. Pelajar juga dilarang bersimpati terhadap mana-mana kesatuan atau parti. Kesatuan Pelajar (Students Union) telah dimansuhkan dan ditukar kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Kuasa Kesatuan Pelajar telah diambil alih oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEM). Tujuan AUKU adalah seperti Akta Keselamatan Negeri (ISA), untuk menakutkan sesiapa yang ingin menentang kezaliman dan penindasan.

Pergerakan pelajar telah ditekan kuat dan menjadi diam sehingga tahun 1998 berlakunya Reformasi. Pelajar-pelajar universiti bangkit semula untuk menentang kezaliman ISA dan masalah rasuah negara yang semakin serius.

Bermula pada masa itulah pelajar-palajar universiti menjadi aktif semula. Mereka telah giat berorganisasi dalam kampus. Mereka menubuhkan pelbagai organisasi demi perjuangan demokrasi kampus dan juga demokrasi negara. Isu hak asasi rakyat ditindas sentiasa dibangkitkan di kampus. Mereka cuba mengaktifkan semula MPP. Untuk mengaktifkan semula MPP, mereka berusaha menabur pemikiran demokrasi di kampus dan menawan MPP untuk meperbesarkan ruang demokrasi.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar di semua universiti mula menekan pelajar-pelajar. Pelbagai peraturan ketat telah dibuat oleh pihak universiti (Bahagian Hal Ehwal Pelajar). Tujuannya adalah untuk mengkongkong pelajar dan mewujudkan suasana ketakutan. Antaranya seperti Kod Etika Pakaian, kewajiban bergantung Matrik Card, Book Plan yang mewajibkan membeli buku dan juga kelas ditutup pada waktu malam.

Aktiviti-aktiviti pelajar juga dikawal dengan ketat. Aktiviti yang tidak berdaftar walupun berfaedah kepada masyarakat telah ditekan kuat oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti. Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti cuba menguasai MPP dengan menghantar pelajar-pelajarnya. Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti ingin mempergunakan pelajar tersebut untuk memecahkan perpaduan pelajar supaya pelajar-pelajar tidak dapat bersatu untuk menentangnya. Apabila mereka tidak dapat menawan MPP, mereka cuba memperketatkan peraturan pilihan raya kampus. Pelbagai cara yang keji telah dilakukan oleh mereka. Termasuk pegawai BHEP dan kolej dihantar untuk menyerbu bilik siswa-siswi pada waktu tengah malam. Pelajar-pelajar yang mengundi atau menyokong Gabungan Pelajar telah dikeluarkan daripada terus tinggal di kediaman kolej.

Pelbagai cara yang bersifat ugutan telah digunakan terhadap pelajar-pelajar yang cuba memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia. Sistem E-undi yang tidak telus turut digunakan di pilihan raya kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Tahun ini (2005), 21hb September, suatu gabungan pelajar, Solidatiti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah melancarkan protest besar di Parlimen supaya Menteri Pengajian Tinggi mengambil tindakan terhadap penyelewengan dan penindasan yang berlaku di semua universiti. Tetapi tiada sebarang tindakan diambil oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Bahkan keadaan di universiti menjadi semakin serius. Bilik Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) telah dikunci oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM. Selain itu, ramai pelajar diugut oleh Pegawai Bahagian Keselamatan dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Seorang pelajar UM, Karim pula dipukul oleh pegawai universiti UM. Seorang pelajar UPM, Lua Khang Wei pula dikepung oleh 30 orang pegawai dan pelajar BHEP. E-undi yang tidak telus juga masih dijalankan di kampus UPM dan UIA. Akhirnya, semua pilihan raya MPP telah dimenangi oleh pelajar yang dipergunakan oleh BHEP. Pertama kali Bahagian Hal Ehwal Pelajar menguasai MPP dengan cara yang kejam.

Dalam proses pilihan raya kampus, walaupun pelajar-pelajar ditekan kuat oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, pelajar-pelajar tetap memperjuangkan hak mereka. Pelajar UPM, USM, UTM dan UIA melancarkan kempen boikot pilihan raya MPP untuk menentang sistem pilihan raya yang tidak adil.

Pada 7hb Oktober, SMM melancarkan perarakan ke SUHAKAM dengan mengangkat keranda yang menandakan kematian demokrasi kampus. Laporan penindasan dan penyelewengan dihantar kepada pihak SUHAKAM. Gabungan Anak Muda dan Pelajar (GAMP JERIT) juga memberi bantuan dan sokongan penuh dalam tindakan memperjuangkan demokrasi kampus. Kreativiti yang cukup mengagumkan telah ditunjukkan oleh anak muda dan pelajar.

Selepas itu, tekanan yang lebih kuat lagi dilakukan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti. 5 orang pelajar UPM, 3 orang pelajar UM dan seorang pelajar USM dihadap ke mahkamah universiti (prosiding). Mereka dituduh oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti masing-masing. Ini kerana kekuatan pelajar telah mengoncang kedudukan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan penyelewengan universiti telah dihebohkan. Akan tetapi, semua pelajar tidak mengaku kalah. Pihak UM telah mula undur dan ingin mengadakan perbincangan. Pihak USM telah menundakan prosiding pelajar tersebut. Tinggalnya Timbalan Naib Canselor HEP UPM Dr Azali Mohemed yang masih ingin mengekalkan penindasannya.

Perjuangan pelajar diteruskan. Pada 27hb Oktober 2005, jam 10.00 pagi, 80 pelajar telah berkumpul di tepi bangunan Kementerian Pengajian Tinggi. Mereka ingin berjumpa dengan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Dr. Haji Shafie Bin Haji Mohd. Salleh. Mereka ingin mengadakan dialog dan memberitahu isu-isu dan penindasan yang berlaku sebelum dan sele

pas pilihan raya kampus, termasuk kes-kes prosiding yang berlaku pada 9 pelajar. Pelajar berjaya menghantar kad gergasi yang penuh dengan tuntutan. Timbalan Naib Canselor HEP UPM, Dr. Azali Mohamed dan semua pegawai HEP UPM telah hadir pada masa itu. Nampaknya mereka terpaksa datang ke Kementerian Pengajian Tinggi.

Program demi program akan diadakan oleh kumpulan pelajar untuk memulihkan demokrasi kampus dan hak pelajar. Perjuangan pelajar akan diteruskan sehingga demokrasi kampus dipulihkan, akta diskriminasi dimansuhkan dan hak rakyat dijamin.

Pulihkan demokrasi kampus! Mansuhkan AUKU!

Hidup perjuangan pelajar! Hidup rakyat!


Disediakan oleh,

Lua Khang Wei

Gabungan Anak Muda dan Pelajar, JERIT

No comments: