POLIS PUN POLIS LAH; PELAJAR TIDAK GENTAR
PELAJAR UPM TEKAD MENERUSKAN PERJUANGAN PELAJAR!
Khamis 10/11/2005 :
Hari ini, lebih kurang pada jam10 pagi seramai 70 pelajar berserta dengan graduan UPM, wakil 杦akil NGO telah berkumpul di hadapan bangunan Pusat Pentadbiran UPM untuk memberi sokongan kepada Lim Sok Swan, Ahmad Taufiq Kamarudin, Mohd Hisyamudin Ghazalih, Simon Ooi Tze Min dan Tan Kar Hing yang dituduh melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti. Tuduhan ini dilemparkan keatas pelajar ini kerana mereka berani menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dan membantah ketidakadilan dan penyelewengan dalam pilihanraya kampus. Kelima pelajar ini dipanggil untuk prosiding hari ini.
Apabila kami sampai sahaja di kawasan bangunan Pusat Pentadbiran UPM, pegawai dan staff Bahagian Keselamatan sibuk memagari bangunan tersebut. Pelajar-peajar yang ada urusan juga ditanya-tanyakan tujuan mereka. Nampaknya mereka bimbang apabila pelajar-pelajar mendekati pentadbir.
Sebahagian wakil NGO dan wartawan juga telah dilarang daripada masuk ke kawasan UPM. Mereka terpaksa tunggu di pintu masuk UPM (Guard House). Seorang wartawan Malaysiakini yang berjaya sampai ke luar bangunan Pusat Pentadbiran telah dihalau dan kertas daftar kebenarannya juga dirampas oleh seorang pegawai yang bernama Kassim. Seorang lagi wartawan Nanyang telah dihalau keluar kawasan UPM. Selain itu, peguam Lim Sok Swan tidak dibenarkan menemaninya masuk ke dalam bilik perbicaraan. Peguamnya juga tidak dibenarkan menunggu di dalam Pusat Pentadiran UPM.
Walaupun berbagai kawalan dilakukan akan tetapi kami telah meneruskan program kami di kawasan lapang bangunan Pusat Pentadbiran UPM. Walaupun pegawai-pegawai Bahagian Keselamatan cuba mengacau dan menghentikan program kami tetapi kami tetap menjalankan program yang kami hendak jalankan. Kami menuliskan harapan dan tuntutan di kad-kad kecil dan menampalnya di atas pokok palsu dan menghadiahkan kepada Lim Sok Swan yang keluar dari prosiding disebelah pagi.
Selepas itu, pihak UPM semakin melampau dan melarang ramai wartawan dan orang awam yang datang menyokong pelajar dari masuk ke dalam UPM. Maka, kami pun berjalan ke kawasan pintu utama dan protest terhadap kezaliman Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa UPM (TNCHEM UPM), Prof. Madya Dr Azali Mohmed. Kain banner dan playcard telah kami ambil untuk menyuarakan pendapat dan tuntutan kami. Wakil Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), peguam , Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud, wakil PSM , S. Arutchelvan, DAP ADUN Bandar Klang Teng Chang Kim, DAP ADUN Lobak Loke Siew Fook, , wakil IKD Zahir Hassan dan Ketua Pemuda Selangor Chinese Assembly Hall Tan Soon Lim turut memberi ucapan. Mereka mengatakan bahawa tindakan pelajar-pelajar adalah betul dan perjuangan pelajar harus diteruskan. Mereka akan memberi sokongan sepenuhnya.
Beberapa pegawai Bahagian Keselamatan cuba menghentikan perhimpunan aman tersebut. Segelintir pelajar yang dipergunakan oleh Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa UPM (BHEM UPM) juga cuba nak membuat kekacauan. Tetapi akhirnya mereka hanya boleh cuba melihat di tepi. Apabila pegawai tersebut sudah tiada cara, mereka memanggil Light Strike Force ( polis) untuk mengusir pelajar dan orang awam. Light Strike Force hanya berdiri di depan kami dan cuba mewujudkan suasana takut di antara pelajar. Bila Light Strike Force datang, pegawai-pegawai Bahagian Keselamatan mula menjerit dengat kuat, "Ambil banner dan kad mereka." Akan tetapi kami sudahpun menghabiskan program kami pada masa itu.
Hari ini , kami telah berjaya menbuka ruang demokrasi yang lebih luas di UPM. Kami berjaya berhimpun hampir satu jam. UPM telah mencatat rekod bahawa terdapat 2 kali perhimpunan aman yang dapat melaungkan suara pelajar.
Hari ini kami bersurai dengan tekad untuk menersukan perjuangan kami ini! Apa yang berlaku hari ini hanya satu permulaan untuk satu perjuangan yang lebih besar dan bermakna. Hidup perjuangan pelajar!
Catatan:
Kes Prosiding Lim Sok Swan, Taufik, Hisyam, Ooi Tze Min, Tan Kar Hing, dan Ridhuan ditundakan dan tarikh tidak diberi oleh TNCHEP UPM.
Disediakan oleh,
Lua Khang Wei
Pelajar UPM
Wakil Gabungan Anak Muda dan Pelajar
No comments:
Post a Comment