Monday, January 09, 2006

PERJUANGAN MAHASISWA DIHIDUPKAN KEMBALI!


PERJUANGAN MAHASISWA DIHIDUPKAN KEMBALI:

MAHASISWA MENUNTUT PILIHANRAYA KAMPUS YANG ADIL & BERSIH

Jumaat , 7 Oktober 2005

Hujan lebat berserta dengan angin yang kuat menyelubungi kawasan Kuala Lumpur pada hari ini. Mungkin alam semulajadi juga marah dan sedih dengan kematian demokrasi kampus dan memberi sokongan kepada pelajar dengan caranya tersendiri.

Bagi lebih kurang 200 mahasiwa dan mahasiswi dari pelbagai universiti tempatan hujan yang lebat ini tidak melemahkan semangat tetapi meningkatkan semangat mereka untuk mengadakan perarakan aman kematian demokrasi kampus dengan KERANDA HITAM menuju ke SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA(SUHAKAM). Perarakan Aman Kematian Demokrasi Kampus yang diselaraskan oleh Solidariti Mahasiswa Mahasiswi (SMM) adalah bertujuan untuk memperingati Kematian Demokrasi Kampus dan menuntut agar hak mahasiswa dikembalikan. Di samping itu SMM, juga menyerahkan satu Laporan Pilihan Raya Kampus 2005 kepada SUHAKAM di mana laporan tersebut adalah mengandungi fakta-fakta mengenai penyelewengan Sekretariat Pilihan Raya Kampus yang terdiri daripada pentadbiran universiti. dan pencabulan hak asasi mahasiswa yang berlaku sempena pilihan raya kampus 2005 di Universiti-Universiti Tempatan.

Lebih kurang pukul 2.30 petang perarakan ini bermula daripada Masjid Negara dengan semua mahasiswa/i perpakaian serba hitam dan memegang jambangan bunga daisy putih sebagai tanda kematian. Satu lagi komponen penting dalam perarakan ini ialah keranda hitam yang ditulis demokrasi kampus dan diselimuti dengan Bendera Malaysia. Pada pukul 3.00 petang para pelajar telah samapi di hadapan Suhakam dan tiga orang wakil daripada SMM telah telah naik ke atas untuk menghantar laporan kepada Pesuruhjaya Suhakam. Sementara menunggu delegasi keluar, ucapan telah diberikan oleh wakil –wakil pelajar daripada pelbagai Universiti dan Organisasi. Mereka menyatakan bahawa pilihanraya kampus baru-baru ini bukanlah pilihanraya tetapi kematian demokrasi di kampus.

Sebagai mengakhiri majlis pengabungan semua mahasiswa-mahasiwi telah meletakkan jambagan bunga di atas keranda hitam yang telah diletakkan dihadapan bangunan tersebut. Pelbagai lagu dan slogan telah dilaungkan oleh golongan pelajar ini sebagai tanda menunjukkan solidariti mahasiswa.

Laporan Pilihan Raya Kampus 2005 telah diterima oleh salah seorang pesuruhjaya Suhakam En. N Siva Subramaniam dan laporan itu mengandungi tuntutan agar Suhakam memberi tekanan untuk mengadakan semula pilihanraya kampus 2005, dan menuntut agar Timbalan Naib Chancelor Hal Ehwal Pelajar di semua Universiti meletakkan jawatan atas sebab gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan wajarnya dan menyalahgunakan kuasa mereka.

Menurut En. Siva Subramaniam , Pesuruhjaya Suhakam, Suhakam telah berusaha untuk mengawasi pilihanraya kampus tahun ini dan laporan yang diterima akan diperbincangkan dalam mesyuarat suruhanjaya. Perarakan aman ini telah diakhiri dengan laungan slogan STUDENT POWER .

Pilihanraya Kampus adalah satu manifestasi kepada amalan demokrasi di Kampus dan ia memberi ruang kepada Mahasiswa-mahasiswi untuk memperjuangkan hak dan kebajikan mereka melalui penubuhan Majlis Perwakilan Pelajar. Sejak kebelakangan ini pilihanraya kampus ini telah dicemari dengan taktik-taktik kotor yang dimainkan oleh pihak pro aspirasi yang inginkan kemenangan. Perkara yang sungguh menyedihkan lagi adalah pihak Hal ehwal Pelajar yang harus memastikan pilihanraya kampus dijalankan dengan baik pula menjadi pihak yang menyumbang kepada perkara yang terkutuk ini.

Maka perarakan yang diadakan hari ini adalah satu tindakan yang menunjukkan bahawa mahasiswa bukanlah patung boneka atau kuli-kuli pihak universiti yang dikawali oleh pihak universiti. Pembangkitan pelajar pada hari ini boleh dikatakan sebagai titik permulaan perjuangan pelajar menuntut demokrasi di Negara kita.

Hidup Perjuangan Pelajar! Kembalikan Hak Mahasiswa !

Disediakan oleh

Nalini. M

Gabungan Anak Muda & Pelajar ( JERIT)

1 comment:

alumni STAN said...

selamat berjuang..