Thursday, January 26, 2006

MAHASISWA MENUNTUT DEMOKRASI KAMPUS : PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA PERDANA MENTERI

MAHASISWA MENUNTUT DEMOKRASI KAMPUS :

PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA PERDANA MENTERI


Putrajaya, 25 Jan 2006


Pagi ini jam 10.30, pelajar mula berkumpul di Putrajaya – Pejabat Perdana Menteri, suatu tempat yang melambangkan kuasa tertinggi ataupun hegemoni di Malaysia. Pelajar yang datang melebihi seratus orang. Mereka datang dari universiti-universiti yang berlainan di Malaysia. Mereka telah datang untuk menuntut hak mereka iaitu mengembalikan demokrasi kampus yang telah dicabuli oleh pihak kerajaan.


Pegawai-pegawai Universiti Putra Malaysia (UPM) juga berdatang beramai-ramai ke perhimpunan pelajar dan anak muda tersebut. Kononnya mereka hendak mengambil gambar dan video untuk menakutkan pelajar-pelajar. Namun begitu, pelajar-pelajar kita masih berbual-bual dengan rakan seperjuangan mereka dengan begitu tanang dan gembira sekali.


Pelajar-pelajar dan anak muda dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gabungan Anak Muda Pelajar (GAMP) telah berjaya buat pertama kali mengadakan demonstrasi di depan Pejabat Perdana Menteri.


Permulaan program ini adalah menarik. Ini kerana "prop gantung" yang dibuat oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Food Not Bomb (FNB) telah dihalang oleh polis semasa prop tersebut sedang diangkat ke depan pintu Pejabat Perdana Menteri. Pelajar berunding dengan special branch (SB) untuk membenarkan prop itu dibawa.

Semua pelajar mendekati SB tersebut dan mengelilinginya. Pelajar-pelajar mengeluarkan playcard dan kain banner yang ditulis "mansuhkan AUKU", "pulihkan demokrasi kampus", "kita nak jumpa PM" dan sebagainya. Wartawan-wartawan turut mengambil gambar. Pelajar-pelajar juga menyanyikan lagu demokrasi.


Tidak lama kemudian, SB tersebut diarah oleh Inspektor supaya membenarkan pelajar dan anak muda meneruskan perhimpunan mereka.Pelajar dan anak muda pun mula mengangkat prop, kain banner dan playcard mereka ke pintu depan Pejabat Perdana Menteri. Wakil pelajar telah masuk ke dalam Pejabat Perdana Menteri dan menghantar memorandum bantahan dan tandatangan sokongan pelajar kepada Perdana Menteri.


Semasa menunggu wakil keluar, ucapan-ucapan yang begitu semangat telah diberi oleh setiap wakil organisasi.


Selain itu, aksi merobohkan prop gantung mahasiswa telah diadakan di depan pintu pejabat PM. Drama syair yang menyeru mahasiswa-mahasiswi bangun melawan penindasan juga dilangsungkan untuk semua pelajar dan anak muda. Pelajar dan anak muda juga menyanyi tiga lagu demokrasi kampus ciptaan sendiri. Slogan-slogan "Hidup Mahasiswa" dan "Student Power" juga dilaungkan.


Akhirnya, wakil SMM telah berjaya menghantar memorandum tersebut kepada wakil PM, Huzairi Zainal Abidin (Pengurus Unit Pengurusan Sumber Manusia ) walaupun pada mulanya mereka dihalang oleh pegawai-pegawai pejabat PM.


Dalam memorandum tersebut, mahasiswa-mahasiswi menuntut:

PERTAMA, satu jawatankuasa bebas yang dipengerusikan sendiri oleh Y.A.B Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia sendiri untuk menyiasat segala aduan berhubung pencabulan demokrasi kampus, penafian hak asasi mahasiswa di universiti dan kebebasan akademik sebagaimana yang telah diadu oleh mahasiswa Malaysia.


KEDUA, suatu draf pemurnian demokrasi kampus segera dibentangkan dalam parlimen dan diwar-warkan dalam media massa perdana demi membuktikan kerajaan Malaysia cukup demokratik dan sangat peka dengan isu pencabulan hak asasi mahasiswa dan sebagainya.


KETIGA, Dato' Dr. Shafie Salleh, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia agar dipecat oleh Y.A.B Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia memandangkan reputasi buruk beliau sepanjang menjawat jawatan Menteri KPT sebelum ini. Niat murni ini selari dengan keputusan Perdana Menteri sendiri untuk merombak kabinet kerajaan Malaysia yang sedia ada agar lebih baik.


KEEMPAT, jaminan rasmi oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri agar Pilihanraya Kampus akan datang di seluruh IPT di Malaysia akan lebih demokratik demi memastikan kepemimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) jauh lebih dinamik dan ikhlas dalam membela hak asasi mahasiswa.


KELIMA, AUKU 1970 (pindaan 1975) dimansuhkan kerana jelas bertentangan dengan Hak Asasi Manusia (mahasiswa). SMM mewakili mahasiswa Malaysia bersedia untuk mehulurkan pandangan demi menggubal satu akta yang lebih mesra mahasiswa dan jauh lebih demokratik.

KEENAM, Y.A.B Perdana Menteri Malaysia agar mengarahkan pihak berwajib untuk menggugurkan segala pertuduhan ke atas 15 aktivis mahasiswa di bawah akta AUKU.


Sebelum pelajar dan anak muda pulang, mereka bersama-sama mengambil gambar mereka sendiri dan melaungkan slogan "Student Power" dan "Hidup Mahasiswa".

Mereka akan meneruskan perjuangan selagi kampus dan negara belum adanya demokrasi dan diskriminasi tidak dihapuskan lagi.


Hidup Perjuangan Pelajar! Hidup Perjuangan Anak Muda!

Mansuhkan AUKU!


Disediakan oleh,

Lua Khang Wei

Gabungan Anak Muda dan Pelajar (GAMP)

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

No comments: