GABUNGAN PEKERJA KILANG DAN KESATUAN(GPKK)
Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan (GPKK) telah ditubuhkan di bawah Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) bagi menggabungkan warga pekerja dan ahli-ahli kesatuan di industrial perkilangan untuk memperjuangkan hak mereka.
Kaum pekerja adalah tulang belakang pembangunan negara ini. Namun, nasib kaum pekerja sering dikompromi atas sebab keuntungan dan ketamakkan segelintir kecil golongan yang kaya.
Kebanyakan daripada 10.5 juta pekerja di Malaysia tidak menikmati hasil buruh dan tenaga mereka. Umpamanya, statistik MTUC (Malaysian Trade Union Congress) menunjukkan 2 juta pekerja di Malaysia hanya menerima RM600 gaji sebulan. Statistik yang diambil oleh JERIT pada tahun 2003 di kalangan pekerja-pekerja daripada 32 kilang, mendapati gaji pokok mereka adalah diantara RM350 – RM480 sebulan. Gaji sebenar pekerja-pekerja ini juga semakin rendah berbanding dengan kadar inflasi yang semakin meningkat.
Kajian yang dijalankan oleh satu organisasi sosial dengan 600 orang responden di Dataran Merdeka (NST,19/10/04)mendapati 33.3% orang tidak mempunyai cukup pendapatan untuk menyara kehidupan dan akibatnya 20% pekerja terpaksa membuat dua kerja.
Pendapatan per kapita Negara Malaysia pula melebihi RM15,000 setahun. Namun lebih 6 juta pekerja kurang mahir dan separa mahir di negara ini, sememangnya tidak mendapat gaji setinggi ini.
GPKK/JERIT sering menerima banyak aduan berhubung dengan penindasan di tempat kerja. Antaranya ialah:
- Jangka masa kerja dilanjutkan dari 8 jam ke 12 jam sehari secara paksaan.
- Pemotongan elauns kedatangan, kerajinan, pengangkutan dan sebagainya untuk perkara-perkara remeh temeh à pekerja lambat datang 1 minit, ambil cuti sakit, punch card tak betul dan sebagainya maka gaji akan dipotong secara sewenang-wenangnya.
- Tekanan di tempat kerja yang melampau akibat syarat-syarat kerja yang ketat seperti pemasangan kamera untuk mencari kesalahan pekerja agar satu minit pun tidak dibazirkan. Contohnya diberi had masa untuk masuk tandas,target mesti dicapai dalam masa yang ditetapkan, didenda jika ada barang reject, dll.
- Persekitaran dan suasana kerja yang tidak selamat. Contohnya kerja berdiri sepanjang masa, suasana kerja panas dan tanpa sistem pengudaran yang baik, pendedahan kepada bahan kimia dan mikrochip sehingga merosakkan organ badan dan mengakibatkan pelbagai penyakit. Latihan untuk pekerja juga kurang memuaskan. Tekanan sebegini menjadi punca kemalangan perindustrian. Statistik kerajaan amat mengerunkan - 81,810 kemalangan industri pada tahun 2002 dengan 858 kematian. Sektor pengeluaran yang mempunyai hampir 3 juta pekerja menghadapi 33,523 kemalangan dengan 214 kematian. Sehingga September 2003, 55,509 pekerja dilaporkan mendapat kemalangan perindustrian dimana 635 daripada mereka menemui maut!
- Pekerja dihentikan kerja dengan sewenang-wenangnya tanpa notis yang secukupnya, tanpa pampasan adil dan tanpa proses rundingan dengan pihak pekerja sebelum pihak majikan mengambil tindakan menutup syarikat, memindah syarikat atau mengurangkan pekerja. Sehingga 9 Oktober 2004, seramai 15,688 pekerja hilang pekerjaan dan di sektor pembuatan 9,263 pekerja di buang kerja.
- Pemangsaan dan ugutan dihentikan kerja jika terlibat dalam kesatuan sekerja. Menurut MTUC, 92% pekerja adalah unorganised workers (8% pekerja dalam kesatuan). Ini bererti majoriti pekerja tidak mendapat pembelaan atau tidak ada hak untuk berunding dengan majikan.
- AKTA GAJI MINIMA RM900.00. Akta Gaji Minima mesti digubal untuk melindungi pekerja-pekerja bergaji rendah daripada belenggu kemiskinan dan penindasan. Sukar untuk menjalani kehidupan sihat dan bermaruah tanpa pendapatan sekeluarga kurang daripada RM2,000 sebulan. Ini kerana kos kehidupan di Malaysia terlalu tinggi akibat penswastaan dan harga barang keperluan asas tinggi à setiap bulan perlu membayar pinjaman rumah, pinjaman kereta, sewa rumah, bil air dan api, bil telefon, kos perubatan, kos pengangkutan untuk diri dan anak-anak selain pakaian, makan minum dll.
- 40 JAM KERJA SEMINGGU. 8 jam kerja sehari, 5-hari kerja seminggu dan 2-shif kerja sahaja. Waktu kerja panjang menafikan para pekerja hak untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Ini dapat megurangkan gejala sosial. Kerja lebih masa (overtime) adalah pilihan pekerja dan tidak harus dipaksa. Kerja overtime tanpa batasan juga mengakibatkan kemalangan industri– keletihan & hilang fokus.
- PEMBENTUKAN TABUNG KHAS. Bertujuan membantu pekerja-pekerja yang dibuang kerja. Dicadangkan majikan dan pekerja menyumbang RM1.00 dan RM0.50 masing-masing. Pada masa kemelesetan ekonomi, pekerja adalah kumpulan paling teruk menerima akibatnya à kehilangan kerja, pemotongan gaji, pengurangan overtime. Demi membantu pekerja-pekerja ini, tabung ini perlu diwujudkan untuk membantu para pekerja memenuhi keperluan asas mereka sehingga mereka mendapat kerja baru seperti mana yang terdapat di negara-negara Eropah, Scheme Social Security.
- BONUS MINIMA 2 BULAN GAJI DAN KENAIKAN GAJI 6% SETAHUN. Bonus merupakan bayaran setahun sekali sebagai pembahagian keuntungan di antara majikan dan pekerja. Tetapi, pekerja sebagai rakan kongsi kedua hanya menerima sedekah dalam bentuk bonus daripada keuntungan syarikat. Bonus juga sering digunakan untuk mendikriminasi antara pekerja kerana ia biasanya merupakan keputusan majikan.
- LANJUTKAN CUTI BERSALIN BERGAJI PENUH DARI 60 HARI KE 90 HARI. Suami/Penjaga harus diberi minima 7 hari cuti bergaji. Tuntutan ini penting kerana ia memberi masa yang optima untuk ibu bersalin mendapat jagaan kesihatan yang sempurna, memberi peluang ibu dan anak menjalinkan hubungan kasih sayang untuk membina asas perkembangan emosi, sosial dan mental seseorang anak dalam membina keluarga bahagian disamping galakkan penyusuan susu ibu sepenuhnya.
HAK MENUBUHKAN KESATUAN DI SETIAP KILANG & TEMPAT KERJA TANPA SYARAT/SEKATAN. Perlembagaan negara memberikan hak berpersatuan. Kesatuan sekerja perlu untuk menjamin hak dan kebajikan pekerja dan Kesatuan sekerja juga membolehkan pekerja melaksanakan rundingan dengan lebih berkesan. Oleh itu syarat-syarat dan proses pendaftaran kesatuan perlu dikaji semula.
http://www.jerit.org/gabungan/gpkk.html
No comments:
Post a Comment