Tuesday, April 17, 2007

BERTANDING PILIHANRAYA MESTI ADA PRINSIP

To be a candidate or involve in election, we must hold strongly to our principe. Hard-working in people struggle and always stand with the workers class are very important.

Please read the article which written by Arul (the person who most respected by me) in the below:


BERTANDING PILIHANRAYA MESTI ADA PRINSIP

Kematian ADUN MIC, K.Sivalingam adalah sesuatu yang tidak dapat diduga tetapi apa yang boleh diduga ialah setiap kali berlaku pilihanraya, maka wujud perebutan sengkit antara calon untuk mendapat kerusi. Pelbagai helah dan dalil dipertengahkan, dan antara pertimbangan pokok ialah politik perkauman dijadikan ukuran paling utama parti mana dan calon mana yang akan bertanding. Sedihnya persoalan-persoalan seperti prinsip perjuangan, track rekod calon dan manifesto menjadi perkara kedua.


Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak dapat bertanding atas simbol parti kerana Pemerintah melalui Menteri Dalam Negeri tidak merestuinya. Dalam dua pilihanraya yang lalu, PSM pernah bertanding menggunakan logo parti pembangkang iaitu DAP dan PKR. Yang sedihnya dalam pilihanraya yang lalu, PSM terpaksa bertanding tiga penjuru kerana tidak ada persetujuan antara Parti Pembangkang.


Untuk PSM kreteria untuk menjadi seorang calon adalah satu proses yang mesti telus, berprinsip dan satu formula yang boleh sentiasa dipakai supaya tidak wujud "double-standard" dan diskriminasi. Parti-parti perlu mempunyai satu garis yang jelas kreteria seorang calon dan bagaimana keputusan diambil.


Bagi PSM, antara kreteria untuk menjadi calon adalah seorang itu boleh dicadangkan untuk menjadi calon apabila beliau telah melakukan kerja akar-umbi disatu kawasan untuk jangkamasa tidak kurang daripada lima tahun. Calon tersebut juga mesti dicadangkan oleh para ahli di kawasan tersebut dan direstui oleh kawasan-kawasan dimana Parti PSM mendapat sokongan iaitu biasanya di kalangkan masyarakat pekerja, peneroka dan pekerja ladang di kawasan yang bakal ditanding. Itu disebabkan walaupun PSM adalah sebuah parti kecil berbanding dengan parti-parti lain, tetapi mekanisma dan jentera pilihanraya sentiasa kuat dan terdapat ramai pembantu sukarelawan.


Sesuatu aspek yang langsung tidak dilihat oleh parti PSM apabila mempertengahkan calon ialah apakah kaum, kumpulan etnik calon, adakah calon seorang yang kaya dan samada calon tersebut ada pendidikan tinggi. Yang lebih dipentingkan adalah kerja yang dibuat dan penerimaan orang tempatan atas kerja yang dibuat.


Dalam dua pilihanraya yang lalu, calon-calon PSM telah melakukan dua perkara iaitu mereka telah mendedahkan harta/asset mereka kepada umum melalui satu sidang akhbar dan mereka juga menandatangani satu pledge (akur-janji) janji-janji pilihanraya, yang diberikan di kawasan-kawasan supaya masyarakat disana dapat memantau calon selepas calon tersebut menang supaya jika calon tersebut tidak menunaikan janji, maka masyarakat ada kertas hitam putih untuk mencabar calon.


Baru-baru ini, PSM telah menyarankan kepada parti-parti pembangkang melalui Gabungan BERSIH untuk membuat deklarasi dan pledge terbuka bahawa mereka tidak akan memainkan politik kaum dan agama untuk menang pilihanraya dan semua calon pembangkang akan mengistiharkan harta. Selepas itu, kita boleh mencabar calon pemerintah untuk berbuat demikian.


Kita harus sedar bahawa adalah tidak mustahil untuk pembangkang menang dikerusi majoriti orang melayu atau cina. Ini pernah berulang ulang kali dimenangi oleh calon PAS dan DAP tetapi jika pembangkang ingin memerintah negara, maka ini hanya boleh dilakukan jika mereka boleh menang kerusi campuran. Inilah cabaran paling penting kita dan untuk menang kerusi campuran, adalah amat sukar untuk kita bermain politik kaum dan agama.


Justeru dengan itu, adalah amat penting untuk kita melihat isu pilihanraya dengan lebih luas dan bukan sebagai satu kerja jankapendek (kerja satu bulan untuk 5 tahun). Pembangkang harus lebih mempertengahkan isu-isu seperti isu agihan kekayaan, isu kesejahteraan/ penderitaan rakyat dan keadilan dan kebebasan rakyat daripada lebih memfokus kepada isu-isu yang akan menjadikan kita jaguh kaum dan jaguh agama masing-masing.


Kerja-kerja politik bukan kerja sampingan tetapi kerja membawa perubahan kuasa kepada sistem pemerintahan negara. Ia memerlukan prinsip dan daya juang yang tinggi.


Dan untuk mempertengahkan isu-isu berprinsip ini, kita perlu mempertengahkan calon-calon berprinsip, berwibawa dan sanggup berkorban dan bekerja setiap hari itu seperti setiap hari esok adalah hari pilihanraya.



S.Arutchelvan
12-4-07

No comments: